Mengharungi samudera kehidupan,
Kita ibarat para pengembara,
Hidup ini adalah perjuangan,
Tiada masa untuk berpangku tangan,
Setiap titis peluh dan darah,
Tak akan sirna ditelan masa,
Segores luka di jalan Allah,
Kan menjadi saksi pengorbanan
Allah adalah tujuan kami,
Rasulullah teladan kami,
Al-Quran pedoman kami,
Jihad adalah jalan juang kami,
Mati di jalan Allah adalah,
Cita-cita kami tertinggi..
Inilah dia rangkap lagu nasyid yang bertajuk Bingkai Kehidupan,alunan kumpulan Shoutul Harakah..kali pertama mendengar alunan lagu ini,bait-bait liriknya terasa begitu meresap ke jiwa saya,seolah-olah satu kebangkitan jiwa dan perasaan yang melonjakkan cita dan harapan untuk terus mengharungi samudera kehidupan ini...
Kehidupan ini ibarat samudera yang luas terbentang,yang perlu kita renangi dan tempuhi dengan penuh hati-hati dan persiapan.Perjuangan mengharungi samudera luas ini ada kalanya boleh menjadi terlalu ganas dan berbahaya,yang hanya mampu didepani oleh para pejuang tulen sahaja...
Para pejuang tulen adalah mereka yang dapat melihat kehidupan ini dalam bingkainya yang betul.Kehidupan tanpa bingkai,ibarat lautan yang tidak bertepi.Soalnya,apakah kita berupaya berenang dan terus berenang,meredah lautan dan ombak mengganas,sedangkan masih tidak kelihatan hujungnya??
Justeru,kita perlu melakarkan bingkai kepada kehidupan kita ini,agar kita tidak tergelincir atau hanyut dibawa arus kehidupan.Antara perkara yang dapat mengawal kehidupan kita adalah dengan memiliki matlamat,jalan dan pedoman yang jelas...
Jadikan Allah sebagai matlamat tertinggi hidup kita.Tiada matlamat lain yang kita hajatkan dalam hidup ini,selain menggapai redha dan kasih sayang Allah.Muslim yang sejati menyasarkan mardatillah sebagai kemuncak pencapaian hidupnya,dengan meletakkan kesudahan terbaik(husnul khotimah) sebagai penyudah hidup ini.Sentiasalah kita berusaha memastikan penghujung usia kita ini,,kita hembuskan nafas dengan lafaz kalimah syahadah dan kesaksian tiada tuhan selain Allah...
Begitu juga,kecintaan dan ketaatan kepada Allah akan diraih dengan menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai suri teladan kita.Segala yang disampaikan oleh Rasullullah s.a.w ,baik secara lisan,perbuatan,pengakuan mahupun larangan,kita ambil sebagai ikutan.Segala sunnah baginda kita perjuangkan untuk ditegakkan dalam kehidupan...
Akhlak dan pekerti Nabi itulah yang kita perlu contohi,dan jadikan petunjuk untuk membangunkan kembali nilai-nilai moral,adab dan akhlak umat kini.Sedarlah kita,betapa segala krisis moral,keruntuhan akhlak,masalah sosial dan masyarakat adalah kerana umat kini telah terlalu jauh daripada Rasulullah s.a.w
Jika nabi pun tidak dikenali,apatah lagi dicintai,maka apakah lagi bentuk bingkai kepada peribadi umat kini?? Jadilah potret umat kini umpama potret tanpa bingkai,lukisan tanpa seni,gambaran yang ngeri lagi menakutkan...
Untuk mencapai matlamat agung tadi,mardatillah,perlukan kepada jalan perjuangan dan pengorbanan.Jalan ke syurga tidak dihampari permaidani merah dan taburan bunga indah,tetapi dilingkari pelbagai duri dan ranjau,onak yang berbisa dan penghalang yang menyukarkan.Sememangnya tiada laluan pintas ke syurga,tetapi syurga itu perlu diraih dengan peluh perjuangan dan darah pengorbanan...
Mereka yang bercita-cita masuk syurga,tetapi hidupnya kosong daripada mujahadah dan pengorbanan,ibarat penuntut yang gagal mengulangkaji,tetapi hanya berharap mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Jihad adalah kata kunci kepada jalan menuju syurga.Mujahadah,pengorbanan dan kesabaran adalah asam garam dalam perjuangan itu...
Inilah bingkai kehidupan yang perlu kita lakarkan kembali secara jelas dalam hidup ini.Hidup ini perlu dilingkungi oleh matlamat yang jelas,teladan yang terbaik,pedoman yang lengkap,dan jalan serta perjuangan yang mantap.Inilah persiapan para pengembara kehidupan untuk menuju destinasi yang hakiki..
JIKA ANDA INGIN MELUKIS,LUKISLAH POTRET KEHIDUPAN..
JIKA ANDA INGIN MELAKAR,LAKARKANLAH BINGKAI KEHIDUPAN..
POTRET INDAH,DI DALAM BINGKAI YANG CANTIK,ITULAH HASIL SENI TERISTIMEWA...
**Renung-renungkanlah...
No comments:
Post a Comment